BERITA PBPM

Insurans perlindungan semua anggota polis

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa kembali mewujudkan perlindungan insurans kepada semua pegawai serta anggota polis.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Hussin Awang Ngah berkata, perlindungan insurans penting bagi menjamin kelangsungan ahli keluarga anggota mahupun pegawai polis yang maut ketika bertugas.

“Setahu saya tiada insurans, KDN dan PDRM perlu wujudkan segera supaya (selepas kematian) nasib ahli keluarganya sama ada balu, ibu bapa dan anak yang ditinggalkan lebih terjamin,” katanya.

Harian Metro difahamkan perlindungan insurans kepada semua pegawai dan anggota PDRM hanya disediakan agensi keselamatan itu sekitar tahun 2012 hingga pertengahan 2014 sebelum ditamatkan atas masalah kekangan kewangan.

Hussin yang diminta mengulas kes kematian anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Konstabel Mohd Zamri Sinsian, 26, selepas dirempuh kereta berkata, anggota pasukan keselamatan sentiasa terdedah bahaya.

“Polis bertugas di semua kawasan demi menjaga ketenteraman awam dan negara. Tidak kira di jalan raya, pusat bandar mahu pun di perbatasan, polis sentiasa terdedah bahaya yang akan meragut nyawa mereka.

“Malang tidak berbau, jadi itulah kenapa pentingnya perlindungan insurans. Kita tahu ada unit kebajikan di PDRM namun bantuan dihulurkan terhad berbanding jika adanya insurans.

“Saya yakin kebajikan keluarga mangsa lebih terbela jika ada insurans.

“Sepanjang tahun ini saja banyak kes dilaporkan berlaku membabitkan anggota dan pegawai polis di semua peringkat,” katanya tanpa memberikan statistik membabitkan kemalangan atau jumlah kematian anggota dan pegawai polis ketika bertugas.

Hussin berkata, pihaknya akan melawat ahli keluarga mangsa dalam masa terdekat.

“Kami akan memberikan bantuan dalam kadar termampu kepada ahli keluarga anggota terbabit,” katanya.

HARIAN METRO, 6 DISEMBER 2018.

ALAMAT PBPM

PERSATUAN BEKAS POLIS MALAYSIA,
N0. 13-1, Jalan Sri Rejang 3,
Rampai Business Park South,
Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

LAMAN SOSIAL