Polis tidak keluarkan kad keahlian PBPM kepada warga asing

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengeluarkan kad keahlian Program Kebajikan dan Perkhidmatan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) kepada warganegara asing.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata Bukit Aman telah mengesan pemilikan kad peserta program itu dalam kalangan warga asing yang berada di negara ini.

“Adalah disahkan bahawa ibu pejabat ini tidak pernah memberi sebarang ‘endorsement’ bagi kad penyertaan sedemikian kepada warga asing bagi mengelakkan timbulnya pelbagai implikasi dan persepsi negatif.

“PDRM sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada kad tersebut telah disalahgunakan untuk apa jua tujuan yang menyalahi peraturan dan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata pemilikan kad PBPM itu bertujuan bagi mengesahkan bahawa pemegangnya adalah peserta kepada program berkenaan yang dianjurkan oleh PBPM bersama dua entiti tempatan.

Katanya kad itu juga bukannya satu bentuk dokumen pengenalan diri pemilik dan tertakluk kepada undang-undang berhubung status warganegara asing yang berada atau bekerja di negara ini.

— BERNAMA

Penyunting Berita